Saturday, July 9, 2011

PERISTIWA KEMARIN: PENANGAN BERSIH 2.0 !

Kemarin merupakan cuti sekolah bagi negeri Kedah. Walaupun saya tinggal di Pulau Pinang tetapi adik-adik saya bersekolah di negeri Kedah. Kedengaran jauh tetapi sekolah tersebut hanyalah terletak dibelakang rumah saya sehinggakan saya boleh mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid-murid sekolah tersebut semasa subjek Pendidikan Muzik. Kadang-kadang merdu, kadang-kadang saya pura-pura tidak mendengar apa-apa.


Cuti sekolah kemarin saya dan adik-adik manfaatkan dengan pelbagai kegiatan berfaedah seperti bermain PS2, bermain game komputer, bermain congkak, mencuba pakaian yang diberi khas oleh bekas atlet mendayung SUKMA 2011 kepada kami adik-beradik  *terima kasih* dan pelbagai lagi sehingga emak diserang migrain, abah keluar mencari ketenangan di gelanggang tenis.


Pada jam 6.00 petang, seusai saya menghabiskan pembacaan buku Lawak Kampus yang ketiga dibaca pada hari itu, kedengaran adik-adik memanggil nama saya untuk keluar menolong mereka melakukan aktiviti diluar waktu kurikulum. Dengan wajah mengantuk saya keluar. Oh, rupanya mereka telah berjaya menahan Uncle Kedai Basikal dari menutup kedai beliau semata-mata untuk membeli cat basikal atau dalam Bahasa Inggeris, 'spray paint'.


Adik bongsu saya Nazirul Mubin kepingin benar untuk menukar warna basikal beliau yang asalnya berwarna kuning. Seorang yang berdikari, beliau berusaha mencari duit sendiri tanpa berharap kepada ibu bapa dengan mengambilnya dari dompet saya. Saya sungguh berbangga dengan beliau. Sangat bangga. Bangga sangat-sangat. SANGAT.


Membeli cat berwarna kelabu, wajah beliau sungguh gembira walaupun dikritik hebat warna tersebut hodoh dan pelbagai kata-kata yang tidak sedap didengar lagi. Adik perempuan saya, Syasya juga tidak lokek menurunkan ilmu graftiti beliau untuk menolong Nazirul Mubin untuk mengecat basikal. Sambil mengecat, pelbagai nasihat dan ilmu menconteng seni kami pelajari. Saya juga tidak berat hati menurunkan ilmu seni yang saya begitu minati sejak dari zaman persekolahan lagi.


Nazirul Mubin berkata, niat beliau mengecat basikal ini bukan kerana larangan kerajaan mengharamkan warna kuning dek perhimpunan BERSIH 2.0 itu tetapi memang sudah lama tersimpul dihati untuk menukar warna basikal beliau. Secara kebetulan sahaja basikal itu pasa asalnya berwarna kuning. Lega hati saya mendengarnya. Rasa kasihan pula jika seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpaksa mengorbankan keaslian basikal kesayangan hanya kerana hidup di negara yang punya rakyat suka berdemonstrasi dan bertindak mengikut emosi serta pemimpin yang takutkan kebangkitan rakyat dan sukar untuk mendengar luahan rakyat sendiri. Kami berborak dan membincangkan tentang pelbagai isu semasa mengecat basikal tersebut seperti pasar malam Kampung Junjong, karya sastera William Shakespears, abang-abang FRU dan polis-polis yang saban hari membuat sekatan jalan raya sehingga adik saya tidak senang memakai jersi bola pasukan Brazil dan negeri Kedah semasa bermain kerana berwarna kuning.


Semasa kami sedang gigih mengecat, tiba-tiba seekor kucing berwarna putih suci lalu dihadapan kami semua. Kalau tidak cukup iman didada, rasanya sudah arwah kesucian bulu kucing tersebut disembur cat ditangan saya.


Setelah hampir satu jam kami berusaha, maka selesai juga basikal Nazirul Mubin berwajah baru. Beliau berasa sungguh gembira dan bangga dapat bersiar-siar dengan basikal yang berwajah baru. Saya berasa sangat seronok kerana telah meluangkan masa yang sangat berkualiti bersama keluarga. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...